Wednesday, 28 October 2015

LANGKAH HIJRAHKU

29 OKTOBER 2015
09:40 AM

Assalamualaikum ku dahulukan sebagai pembuka nukilan untuk ke sekian kalinya. Sudah lama aku tidak menjenguk ruangan ini kerana sibuk dek urusan pengajianku. Dengan izinNya, terbuka hatiku pada pagi ini untuk kembali menukil kalimah di sini.

Alhamdulillah, dibekalkan olehNya kepadaku kesihatan dan kekuatan pada hari ini untuk terus beribadat kepadaNya. Syukur juga kepada Allah yang masih lagi menetapkan petunjuk serta hidayahNya ke atas diri sang hamba yang lemah lagi jahil ini. Tidak sekali-kali aku malu untuk menyatakan diri ini lemah di hadapan Allah, kerana aku sedar akan hakikat bahawa hanya Dia yang Maha Sempurna dengan segala kemuliaan dan keagungan.

Jalan mujahadah.

Hijrah.

Anjakan paradigma yang memerlukan pengorbanan daripada seorang hamba yang serba kekurangan demi mendapatkan keredhaan daripada Allah Yang Maha Esa. Aku menyedari akan kepayahan menempuhi hari-hari menelusuri jalan mujahadah, lebih-lebih lagi apabila hati ini telah dididik sejak kecil untuk sentiasa dibelai dengan nikmat duniawi. Perubahan ke arah kebaikan itu sememangnya memerlukan tekad, kerahan usaha serta istiqamah.

Umpama mendaki bukit yang curam untuk sampai ke puncak. Langkah pertama itu penting, sama seperti tekad yang dipasak dalam atma untuk berhijrah ke arah kebaikan. Kegigihan dan istiqamah itu perlu agar kau akhirnya sampai ke puncak hijrah, berjaya melakukan perubahan yang semakin mendekatkan dirimu kepada Sang Pencipta.

Tidak mengapa jika lambat sampai ke destinasi, asalkan matlamatmu itu tercapai, jika hendak dibandingkan dengan mereka yang tergesa-gesa, akibatnya jatuh ketika mendaki, ataupun letih dan kembali turun ke tempat asal membatalkan hasrat. Sememangnya peringkat awal adalah sukar, tetapi pentingnya istiqamah agar hasrat murni untuk menuju kepada kehidupan Islami itu tetap kau teruskan, langkah demi langkah hingga berjaya.

Pesanku buat hati. Bersabarlah.

Sabar itu membuatkan Allah cinta kepada hambaNya. Teruskan menelusuri jalan mujahadah bagi mendapatkan cinta Pencipta.


Thursday, 28 May 2015

WAHAI HATI

29 MAY 2015
01:28 AM

Hanya suasana sepi mengisi setiap ruangan rumahku. Mata ini masih belum terasa berat untuk aku merebahkan diri. Aku kembali ke ruangan ini untuk ke sekian kalinya bagi menulis kembali setiap isi atma yang sudah lama terpendam.

Sememangnya aku tidak dapat lari daripada fitrah manusia yang sering kali berkeinginan untuk mencintai dan dicintai insan lain. Hatta sekalipun aku telah berjanji pada diriku sendiri untuk tidak lagi bercinta sehingga tiba waktu yang sesuai, aku tetap memungkirinya.

Aku mengaku bahawa aku telah jatuh cinta pada seorang lagi akhawat yang aku baru kenali di tempat pengajianku. Aku tidak dapat menahan hasratku untuk mengenali dan mengakrabikan diri kepadanya. Setelah kami pulang ke teratak masing-masing selepas tamatnya sesi pengajian, jarak telahpun memisahkan kami berdua.

Kerap kali aku katakan bahawa diri ini amat merindui akhawat tersebut. Wajahnya kerap muncul dalam bayangan, suara gelak tawanya terngiang-ngiang di fikiranku, dan senyum manisnya sering terukir dalam ingatanku. Mana mungkin aku mampu menahan perasaan rinduku tatkala teringat akan dirinya. Betapa sayunya hati ini apabila seharian aku tidak dapat mendengar suara yang dahulunya sering menerjahku tatkala berbicara dengannya.

Ya Allah,
Amat berat ujian yang kau datangkan kepadaku. Aku tahu bahawa aku telah melanggar prinsip diriku untuk tidak bercinta lagi. Aku juga telah memungkiri setiap janji yang aku pahat pada dinding hati ini. Betapa lemahnya iman ku ini.

Aku merindui insan yang masih belum punya apa-apa pertalian denganku. Maafkan aku ya Allah.
Hanya kalimah maaf yang sering lahir dari bibir keringku ini. Apa lagi yang mampu aku lakukan ? Kerana aku tahu bahawa hati ini milikmu. Aku hanya mampu merintih agar Engkau kuatkan nubari hambaMu ini hingga terselamat daripada melakukan segala laranganMu.

Berikanlah hidayah dan petunjuk kepadaku. Bimbinglah daku ya Allah agar aku dapat meneruskan langkah seterusnya, di bawah keredhaan dan rahmat daripadaMu ya Allah.

Friday, 17 April 2015

DINGIN AL-LAIL

27 MAC 2015
12:05 AM

Al-lail yang sungguh dingin dan sepi. Hanya desiran angin yang aku dengari. Ada penghuni yang sudah rebah terlelap. Ada juga yang masih berjaga. Begitu juga dengan diriku. Mata kurnian Tuhan ini masih segar menanti layu. Baringanku hanyalah berbantalkan sejadah. Hari ini aku bersama dua orang sahabatku memilih untuk tidur di surau. Sedangkan yang lain lena tidur di atas tilam empuk.

Memang benarlah apa yang dilakukan oleh Saidina Ali r.a. Beliau memilih untuk tidur di atas lantai agar mudah untuk terjaga dari lamunan tidur yang sementara, lantas melakukan qiyam al-lail seraya solat Subuh. Betapa mulianya sahabat kesayangan Nabi s.a.w ini hinggakan sanggup meninggalkan keselesaan demi mencari redha daripada Allah s.w.t.

Allahumma, berkatilah segala usaha yang aku kerah untuk sentiasa dipayungi rahmatMu ya Allah.

Friday, 20 March 2015

MUNGKINKAH

21 MAC 2015
7:47 AM

Mungkinkah ?
Mungkinkah aku dapat bertemu lagi dengan para sahabat ku yang sering mendampingi ku ? Senyuman mereka kekal terngiang dalam benak fikiran walaupun senyuman yang ku lihat kini bukanlah datangnya daripada mereka. Aku kini sayu mengenang kembali memori bersama rakan-rakan yang aku amat rindui.

Setelah sebelas tahun aku menimba ilmu di sekolah yang sama dengan rakan-rakanku , mungkinkah aku dapat melupakan mereka ? Sebelas tahun itu tidak akan sama jangka masanya dengan tiga bulan. Sebelas tahun itu juga jangka masanya tidak akan sama dengan dua tahun. Rakan yang aku dampingi di sini selama tiga bulan dan yang bakal aku temui di universiti selama dua tahun tidak akan sekali-kali sama dengan rakan di kampung halaman ku.

Alangkah baiknya duhai rakan ,
seandainya kalian tahu betapa rindunya rasa nubari ini terhadap diri kalian. Aku mengaharapkan wajah kalian yang bermastautin dalam fikiranku mampu aku tatap lagi setelah aku pulang ke kampung. Duhai sahabat, masa bila lagikah akan aku dapat bertemu dengan kalian ? Alangkah seronok jika kita mampu berkumpul dan berbicara akan perihal diri masing-masing sambil mengimbau kenangan yang telah lama berdiam dalam masa lampau. Pertemuan terkadang tidak mampu dirancang. Tetapi pertemuan bersama sahabat-sahabatku telah menjadi satu sisipan doa dalam setiap rintihanku kepada Allah s.w.t.

Ya Allah, Ya Rabbi
Akrabikanlah rakan-rakanku seiring dengan setiap langkah perjalanan hidupku sehingga kami menjejakkan kaki ke dalam
Jannah Mu ya Allah.

Wednesday, 18 March 2015

LEMAHNYA NUBARI INI

18 MAC 2015
7:26 PM

Bismillah,
Setiap detik aku berdiri di sini, jantung aku berdegup janggal seiring dengan keadaan ku yang sepi keseorangan di tempat yang asing bagi ku. Aku meraih simpati daripada insan yang lain melalui penulisan dan kata-kata yang lahir dari bibir keringku ini.

Pada waktu aku hiba, aku mula membuat panggilan telefon, menghubungi rakan atau ahli keluarga yang aku rindui. Entah bila agaknya rasa janggal dan kesunyian ini akan berakhir. Semua jangkaan yang terlintas dalam fikiran terjadi ke atas diriku. Aku memberontak dengan diri sendiri. Aku menyalahkan mereka yang tidak bersalah kepada aku. Sedangkan aku yang meminggirkan diri daripada sahabat sepengajian ku di sini.

Aku hampir menangis dengan keadaanku sekarang yang kesunyian. Walaupun mereka cuba untuk menghampiriku, namun perasaan hiba tetap membelenggu nubari kecilku ini. Mataku diselaputi air jernih yang hampir mengalir membasahi pipi. Mereka tidak akan faham betapa syahdunya hati aku melihat kehidupan aku yang bersendirian. Benar, atmaku memang lemah. Malah kian lemah dengan keadaan ku yang sebegini rupa.

Sememangnya aku lemah kerana tidak pernah meninggalkan keluarga tersayang. Sememangnya aku lemah kerana tidak pernah berpisah dengan sahabat yang akrab kepada aku. Bagaimana akan ku tempuh sepuluh minggu yang bakal menjelang tiba ? Sedangkan sepuluh hari sudah cukup membuatkan hati ini menjerit kesakitan. Terlalu rindu akan kampung halaman, keluarga dan para sahabatku.

Aku buntu ya Allah. Bantulah hambaMu yang lemah ini. Semua perkara baharu yang aku alami telah menghiris nubari ku. Betapa hinanya diri ku ini kerana sering mengadu kepada makhluk sedangkan Allah itu sentiasa ada untuk mendengar rintihan hambaNya.
Maafkan aku ya Allah.

Saturday, 14 March 2015

SAHABAT FID DUNYA WAL AKHIRAH

15 MAC 2015
10:23 AM

Mungkin hanya beberapa hari berlalu, bukan bulan, bukan bertahun, tetapi keinginan aku untuk meneruskan penulisan dalam ruangan ini semakin hari semakin kuat. Kehidupan ku kini tidak semudah di rumah, tidak lagi seindah kehidupan ku di teratak yang aku sudah anggap seperti istana bagiku buat sekian lamanya. Kelengkapan ku di sini tidak lagi seperti dahulu. Aku terpaksa mencari masa terluang untuk kembali menukil kalam dalam ruangan ini.
Suasana redup nyaman kampung halaman kini tidak ku rasakan lagi. Bayu lembut yang sering membelai aku di kala petang tidak lagi mengepuk pipi ku. Apa yang aku bayangkan sebelum aku menjejakkan kaki ke kota Kelana ini benar-benar terjadi ke atas diriku ini. Suasana bersendirian akan aku alami buat seketika jika terkenang akan kampung halaman ku. Walaupun tidak kerap aku mengalami perasaan sebegitu, namun setiap kali ia muncul, ia membawa bersama perasaan rindu yang utuh terhadap teratak lamaku dan seisinya.

Perasaan sunyi, bersendirian dan sayu terpaksa aku sembunyikan di balik tirai senyuman dan gelak tawaku bersama rakan-rakan yang datang daripada sekolah yang sama denganku. Mereka ada menemani aku. Mindaku tidak mampu membayangkan bagaimana rasanya jika aku menjejakkan kaki ke matriks mahupun universiti tanpa kehadiran mereka. Tentunya atmaku akan menjadi lebih sunyi dan kering kontang tanpa air kerinduan daripada para sahabat yang begitu rapat dengan diriku ini.
Aku sudah menganggap mereka seperti keluarga aku sendiri. Menemani aku di kala duka. Menegur aku di kala tersilap. Memberikan aku semangat di kala jatuh. Betapa aku sayangkan para sahabat aku. Namun aku hanyalah insan yang serba kekurangan. Rasa sayang itu hanya ku simpan dalam atma ku tanpa pengetahuan mereka. Aku harap aku dapat bersama mereka hingga langkah ke syurga.
Betapa aku sayang akan rakan-rakan aku. Tidak pernah terlintas walau sedetik bagaimana kehidupanku tanpa mendengar gelak tawa mahupun melihat raut wajah mereka apabila aku sudah berjauhan daripada mereka. Aku sudah mengenali mereka bertahun lamanya. Bagaimana aku dapat melupakan sahabat yang sudah menjadi darah dagingku ? Air mata aku mengalir, rindu dan sayang akan sahabatku.

Walaupun aku tahu akan aku temui rakan yang baru, mereka tetap tidak sama dengan sahabatku yang lama. Tidak akan pernah sama. Kerana sahabat lama yang kini masih berhubung dan bersama denganku sudah mengenali dan faham akan karakter masing-masing. Jiwa kami bagaikan berhubung antara satu dengan yang lain. Kami bagaikan satu jasad, satu anggota terhiris luka, seluruh tubuh terasa pedihnya.

Ya Allah , mungkin kata-kata ku itu agak melampau. Sedangkan aku sedar bahawa hanya Engkau sahaja yang aku perlukan di dunia ini. Cukuplah hanya Allah bersama aku. Akan tetapi ya Allah, aku merintih doa padamu ya Allah, tetapkanlah rakan-rakan ku ini bersama-sama denganku. Iringilah setiap langkahku dengan ditemani rakan-rakan ku yang amat aku sayangkan ini. Sentiasa dekatkanlah mereka denganku. Hiasilah hari-hariku dengan raut wajah, senyuman, gelak tawa dan perbualan bersama mereka. Kekalkanlah keakraban aku dan rakan-rakan ku ini hingga ke Jannah-Mu ya Allah.
Amin ya Rabbal 'Alamin

Saturday, 7 March 2015

DERAPAN MUSAFIR

8 MAC 2015
8:06 AM

Aku mencampakkan basirah ku keluar jendela. Kelihatan seperti awan berarak memayungi perjalanan ku. Hanya doa sebagai peneman. Ya Allah , kau iringilah langkah musafirku ini dengan barakah dan rahmatMu.

Angin sejuk mula membekukan hati yang sayu meninggalkan ahli keluarga. Sayu melihat titisan air jernih yang berlinang menuruni wajah. Segala doa dan harapan mereka telah ku sematkan dalam atma. Mentari baru saja melimpahkan nurnya. Menerangi setiap sudut perjalanan ku. Fikiran ku mula menerawang. Memikirkan perkara yang pelbagai. Aku mula berfikir, siapa yang bakal aku temui di sana ? Siapakah agaknya yang menjadi sahabi baru bagiku ? Bagaimana keadaan ku di sana ? Adakah selesa atau penuh dengan aral ?

Aku berserah padaMu ya Allah. Aku sedar bahawa tiada kuasa melainkan kekuasaanMu yang meliputi seluruh alam. Bukanlah aku tidak yakin pada diri sendiri, tetapi aku sedar akan usahaku yang terbatas. Alangkah lebih baik jika aku berusaha dan menyerahkan segala yang kemudian itu pada Allah, Tuhan yang memelihara kehidupanku.
Tubuhku letih, menunggu tibanya diri ini ke destinasi. Terpaksa aku lelapkan mata buat seketika dalam derapan musafir ini.

LANGKAH MUSAFIRKU

7 MAC 2015
11:00 PM

Aku masih dapat merasakan kedinginan angin di sini untuk malam yang terakhir. Malam terakhir sebelum aku menjejakkan kaki ke negeri orang. Kesejukan terus-menerus menerjah roma ku. Bunyi serangga memecah keheningan malam. Bunyi tiupan angin dan serangga seakan mengucapkan selamat tinggal pada diriku yang tak akan menetap di sini lagi buat suatu jangka masa yang lama.

3 bulan bukanlah suatu jangka masa yang singkat bagi diri yang tidak pernah berjauhan daripada keluarga seperti aku. Tetapi, inilah yang dikatakan pengalaman. Bak kata orang, " jauh perjalanan, luas pemandangan ". Persediaan awal perlu ku sisipkan dalam diri sebagai pengalaman sebelum diri ini melangkah lebih jauh dalam pengajian.

Sebelum matahari terbenam , hilang dari pandangan ku, aku sempat melihat setiap sudut kampung ini, walaupun aku sudah melihatnya hampir setiap hari. Betapa akan ku rindu pepohon hijau yang sering melambai ke arah ku tatkala aku berjalan di sekeliling kampung ini. Betapa akan ku rindu mendengar bunyi kesunyian malam di sini. Betapa akan ku rindu tanah yang sering ku pijak dalam setiap langkah sehari-hari.

Aku dapat bayangkan betapa akan aku rindu keluarga dan sahabat handai yang sering menghadiakan senyum tawa padaku di kala aku kesedihan. Menemani aku di kala aku susah dan senang. Pasti akan ku rindu mereka semua. Akan ku isi ruang fikiran ku di waktu malam sebelum mata terlelap dengan bayangan wajah keluarga dan sahabat yang sering mengakrabikan diri mereka kepadaku.

Kini, rasa kesal pula mula menyelubungi diri aku. Aku kesal. Mengapa saat dahulu ketika mereka cuba memaparkan sikap prihatin dan mengambil berat kepadaku, aku sering menjauhkan diri ? Mengapa aku berasa benci tatkala mereka cuba mendekatkan diri kepada ku ? Sedangkan merekalah yang Allah utuskan kepada aku untuk menemani diri ini tatkala menempuh kehidupan sehari-hari. Maafkan aku kerana sikapku yang sering ingin hidup bersendirian, seakan aku sudah punya upaya untuk hidup tanpa bantuan rakan dan keluarga.

Kini aku sedar bahawa Islam itu sendiri menyeru umatnya menjalinkan hubungan silaturrahim mengikut batasan yang telah ditetapkan syarak. Tidak kiralah walau di mana sekalipun diri ini berdiri, atau bersama siapa diri ini akan ditemani, aku cuma berharap bahawa setiap langkah yang akan ku orak selepas ini diiringi keberkatan daripada Allah s.w.t.

Thursday, 26 February 2015

DOA SEORANG HAMBA

27 FEB 2015
12:03 AM

Tatkala seluruh ahli keluarga ku lena memejamkan mata mereka, dibuai mimpi ilusi, aku melangkah keluar dari kamar kecil, berteleku di meja, menulis bait-bait luahan hati seorang hamba. Ya Allah, sungguh, hatiku ini dipenuhi kegusaran dan kebimbangan.

Setiap sudut hatiku dipenuhi rasa takut pada perkara yang tidak pasti. Rasa was-was menguasai diri kerdilku ini. Aku sedar bahawa ruangan hati ini telah ku isi dengan perasaan kembimbangan pada perkara yang aku sendiri tidak yakin.

Ibadahku.

Taubatku.

Aku bimbang ya Allah. Aku gusar. Aku takut. Adakah amalan ku di dunia ini sudah cukup membuatkan aku berjaya meniti sirat Mu umpama para solihin ? Umpama kekasihmu yang melintas sirat dengan pantas bagaikan kilat ?

Aku bimbang ya Allah. Aku tidak ingin menjadi para hambaMu yang derhaka terhadapMu sehingga terpaksa merangkak meniti titian sirat Mu. Kebimbanganku semakin menebal Ya Allah. Hanya Kau saja yang mengetahui isi qalbu ku.

Aku sedar bahawa ketenangan yang menghapus kebimbangan maujud dalam nubari ini mampu aku dapat tatkala aku bersujud dan beribadah kepadaMu. Tetapi aku bimbang jika setiap sujud dan ibadahku itu tidak diterima oleh Mu. Lautan hati aku hanya mampu ditenangkan oleh Mu ya Allah.

Sebelum aku hilang jihat.
Sebelum semangatku lenyap dimamah rasa bimbang yang tidak berkesudahan.
Aku berdoa padaMu, Ya Latiff, Ya Rahman, Ya Rahim,
Sesungguhnya ya Allah, hanya Kau lah pemilik dan pemegang segala hati. Maka hilangkanlah setiap keraguan dan rasa was-was dalam atma yang mudah goyah ditiup hasutan jahat. Kuatkanlah keyakinan diriku terhadapMu ya Allah. Seandainya terdapat kekurangan dalam ibadahku, maka tutuplah kekurangan tersebut dengan rahmatMu ya Rabbi. Dan terimalah segala amal ibadah, doa dan taubatku ya Allah. Tempatkanlah diriku ini dalam FirdausiMu ya Allah, bersama dengan ahli keluarga, para sahabat, para guru, para alim ulama', juga seluruh muslim dan muslimah. Sesungguhnya ya Allah, Kau lah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Amin.




Wednesday, 25 February 2015

YA AKHAWAT

25 FEB 2015
5:38 PM

Hati. Suatu ruang yang tidak seorang pun insan tahu di manakah sempadannya. Terlalu dalam untuk diterokai emosi dan perasaan sendiri. Timbul kadang kala perasaan yang tidak diketahui dalam hati ini. Begitulah apa yang aku rasai tatkala melihat seorang akhawat dari sekolah ku.

Namun perasaan ini aku teruskan dengan suatu hubungan yang tidak pasti. Suatu hubungan yang kami reka sendiri. Tiada penghujung yang jelas. Aku tenggelam lemas dalam keseronokan perasaan duniawi lantas diri yang serba kekurangan ini melupakan ukhrawi. Lupa akan tuntutan Tuhan. Itulah realitinya. Maafkan aku, ya Allah.

Sudah ramai yang menasihati tetapi semuanya bagaikan mencurah air ke daun keladi. Aku akur dengan emosi sendiri. Tetap dengan pendirian sendiri yang aku tahu ianya salah. Aku hanya memekakkan telinga tatkala mendegar bisikan berbaur nasihat. Kedegilan dan kekerasan hati aku bagaikan satu tembok yang ampuh terbina di setiap sisi nubari ku. Maafkan aku, ya Allah.

Walau bagaimanapun, aku kian sedar bahawa kehidupan yang aku lalui itu tidaklah bertepatan dengan kehendak Islam. Segala implikasi yang sengaja ku butakan daripada pandanganku kian ku rasa walaupun dengan mata terpejam. Kerana yang merasakan deritanya juga adalah hati. Di hati ia bermula dan di hati juga ia berakhir.

Aku kian sedar bahawa hubungan yang tidak pasti ini akan mengheret diri aku dan dia jauh daripada hal yang sepatutnya diberi tumpuan. Urusan pengajian dan hal keluarga yang sepatutnya aku titik beratkan kian alpa dan lenyap dari mindaku.

Terima kasih ya Allah kerana menyedarkan hambaMu yang lemah ini. Aku tidak menyalahkan mana-mana pihak ataupun insan. Aku menyalahkan diriku sendiri. Diri ku yang bergelar lelaki sepatutnya bijak mengawal emosi sendiri, bukan rebah dimamah nafsu tanpa panduan iman. Sepatutnya aku mampu berdiri teguh di atas tuntutan agama walaupun badai nafsu datang menduga.

Aku tahu betapa sukar untuk meyakinkan mu tentang hal ini. Tetapi usaha itu tangga kejayaan. Manakan datang hasil selagi tidak terus mencuba sehingga berjaya. Walaupun terpaksa menggunakan kalimah-kalimah yang mampu menghiris luka halimunan dalam hatimu, namun tetap aku teruskan demi menegakkan kebenaran. Aku menginginkan redha Allah.

Ketahuilah walaupun kita hina dan salah pada pandangan manusia, namun jika ia benar pada pandangan Allah, kita tetap berada pada pihak yang menang.

Dan begitu juga sebaliknya, walaupun kita benar pada pandangan manusia, namun jika ia salah pada pandangan Allah, kita tetap berada pada pihak yang kalah.

Aku memilih jalan Islami walaupun perit dan sukar, demi mengecapi rahmatNya.

Kini, kau sudah dapat mengerti setiap bait perpisahan yang aku nyatakan. Aku melafazkannya kerana bersebab. Menginginkan kita berdua kembali melusuri jalanNya dan dipayungi dengan barakah dan redha daripadaNya. Aku tidak tahu jika kalimah "faham" itu benar-benar lahir daripada hati mu. Tetapi itulah yang aku harapkan.

Tiada ruginya menuruti cara hidup Islami, ketahuilah sesungguhnya ganjaran di sisi Allah itu lebih baik berbanding dunia dan seluruh isinya.

Ya akhawat, pesananku buatmu.
Jagalah dirimu sebaik mungkin, jalani hidupmu seperti Fatimah binti Rasulullah. Aku ingin melihat kau menginjak dewasa menjadi seorang muslimah yang dipenuhi seluruh atmanya dengan nilai-nilai Islam. Janganlah bersedih. Jangan kau hidup dalam kenangan. Ambil saja iktibarnya dan kembalilah melusuri kehidupan sebagai muslimah yang taat pada setiap ajaran Islam. Tumpukan pada urusan pengajianmu dan keluargamu. Serahkan dahulu urusan jodohmu pada Allah yang Maha Mengetahui. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang. Pasakkan Islam dalam nubarimu. Sesungguhnya Allah sentiasa bersama denganmu, In sya Allah.

Tuesday, 24 February 2015

DEGUPAN 3 MAC

24 FEB 2015
7:00 PM

Tidak sempat aku menunggu fajar esok hari menyinsing pagi, hati aku berbisik-bisik untuk kembali menulis di ruangan ini. Riuh-rendah rasanya jika dikumpulkan para pelajar tingkatan 5 tahun 2014 kerana semua sedang rancak berbicara berkenaan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

3 Mac 2015....

Aku sedar betapa berdebarnya qalbu kecilku ini tatkala setiap insan yang seusia denganku menyebut tentang keputusan peperiksaan yang bakal diumumkan pada tarikh keramat tersebut. Bukan sahaja para pelajar, malahan aku sedar bahawa warga pendidik juga menaruhkan harapan yang tinggi pada keputusan anak didiknya.

Setelah 5 tahun berhempas pulas menuntut ilmu di dalam bangunan merah yang masih megah berdiri itu, akhirnya segala titik peluh yang ku kerah selama ini akan terbalas jua. Namun aku sedar akan suatu realiti, bahawa kesungguhan yang aku letakkan pada pengajianku tidaklah sehebat rakan-rakan seperjuanganku.

Melihat rakan-rakan ku sanggup berhabis wang, memberi masa dan tumpuan pada pengajian, aku terasa bahawa diriku ini amatlah kerdil jika dibandingkan dengan diri mereka. Apatah lagi tatkala aku melihat rakan seperjuanganku yang dahulunya belajar di bangunan yang sama denganku, kini telah berpindah ke sekolah lain dan menerima saingan yang memberi nafas baru, memacu mereka kehadapan. Meninggalkan aku lalai keseorangan dalam dunia ku.

Dalam rasa gembira terhadap kejayaan mereka dalam pengajian, aku tiba-tiba diselubungi rasa bahawa diri ini masih berada pada anak tangga yang sama. Jeda. Kaku dan tidak mampu bergerak. Dari anak tangga yang sama di bawah, aku melihat rakan-rakan ku sudah hampir sampai ke puncak. Mereka hampir menggapai apa yang mereka citakan. Eksplorasi mereka terhadap dunia sudah terkedepan berbanding diriku.

Aku dapat melihat wajah-wajah mereka yang dihiasi dengan senyuman. Berpuas hati dengan hasil usaha mereka. Bagaimana pula dengan aku ?

Hanya sugul yang menyelubungi setiap sisi diriku. Ya Allah, tabahkanlah hati hambaMu yang serba kekurangan ini.

Monday, 23 February 2015

PEMBUKA LEMBARAN

24 FEB 2015
12:30 PM

                Kini aku sedang termangu di hadapan komputer, memikirkan setiap butir bait yang ingin aku luahkan daripada hatiku. Ini bukanlah kali pertama aku membuat nukilan, tetapi kerja penulisan sebegini yang dahulunya menjadi hobiku telah lama aku tinggalkan.

                Aku sedar bahawa bukan mudah untuk meluahkan setiap isi an-nafs melalui penulisan, apatah lagi melalui percakapan. Tetapi aku akan cuba. Mungkin percubaan buat pertama kalinya ini tidaklah aku sisipkan dengan kalimah-kalimah yang panjangnya berjela. Sekadar mengasah kembali bakat penulisan ku.

                Lagipun, aku baru sahaja menamatkan pengajianku sebagai seorang ikhwah Tingkatan 5 di sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman. Entah orang sedar ataupun tidak kehadiran ku di dunia ini. Tetapi bukan itu yang aku harapkan. Apa yang aku inginkan hanyalah tempat meluahkan isi hati dan menyampaikan mesej dari buah fikiranku dalam bentuk penulisan agar didengar oleh orang di sekelilingku. Bukan mudah untuk membuatkan suara remaja mentah dan masih hijau seperti ku ini untuk didengari oleh orang awam. Tetapi usaha dalam meyampaikan mesej dan dakwah melalui cerita dan penulisan akan ku teruskan jua. 

               Ingin aku ambil kesempatan yang sedikit ini untuk memanjatkan rasa syukur pada Allah s.w.t. yang memberikan kesempatan pada diriku yang serba kekurangan ini untuk menulis butir-butir kalimah yang diharapkan mampu menyedarkan ramai pihak termasuk diriku sendiri. Terima kasih juga kepada seorang akhawat yang juga merupakan salah seorang rakan karibku kerana memberikan aku inspirasi serta injeksi semangat kepada aku untuk menghasilkan penulisan yang tidak seberapa ini.